Isnin, 19 Mei 2014

PM Najib hadir meriahkan kenduri anak bekas MB



KEMAMAN 17 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini hadir memeriahkan kenduri kesyukuran sempena perkahwinan anak bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said di kediamannya di Teluk Kalong dekat sini hari ini.

Ketibaan Perdana Menteri kira-kira pukul 1.10 petang disambut oleh Ahmad serta isterinya, Toh Puan Seri Norliza Mahmud dalam suasana penuh mesra bersama ribuan tetamu.

Dalam jadualnya yang padat, Najib masih sempat meluangkan masa lebih sejam meraikan pasangan pengantin baharu itu di samping menikmati hidangan bersama Ahmad serta para pembesar dan kenamaan lain.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob; Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri, Toh Puan Halina Zakaria; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Menteri Besar bersama isteri bagaimanapun tiba agak lewat kerana mengiringi keberangkatan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dalam satu majlis di Kuala Terengganu.

Pada majlis itu, Perdana Menteri mendahului upacara merenjis tepung tawar kepada pasangan pengantin dan disusuli majlis makan beradab di pekarangan kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal itu.

Lebih 10,000 orang dari segenap lapisan masyarakat menghadiri majlis tersebut sejak pagi lagi yang diserikan dengan persembahan artis terkenal termasuk Jay Jay dan Nash.

Nor Ashahirah Ahmad, 27, anak kedua daripada empat beradik dengan Mohd. Syahirpaul Redzuan Musa, 28, diijabkabulkan pada 9 Mei lalu dan majlis persandingan berlangsung keesokan harinya di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam dengan keberangkatan Sultan Mizan Zainal Abidin.

Majlis perkahwinan pasangan itu menjadi perhatian setelah dikaitkan sebagai punca berlakunya salah faham antara Ahmad dengan Perdana Menteri berhubung proses peralihan pucuk pimpinan sehingga menyebabkan Ahmad memutuskan keluar parti, Isnin lalu.

Ahmad dilaporkan berkata, Perdana Menteri menganggap soal perkahwinan adalah soal peribadi tanpa menyedari bahawa majlis kedua akan dilangsungkan pada hari ini sedangkan baginya ia cukup penting dan juga melibatkan maruahnya.

Bagaimanapun Rabu lalu, dalam pertemuan semula dengan Najib, Ahmad memohon maaf atas keterlanjurannya dan beliau bersama dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri kembali bersama UMNO.

Sumber : Utusan Malaysia 


Sent from Naluri's iPhone
Sent from Naluri's iPhone

Tiada ulasan:

Catat Ulasan